Powered by:
SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT
S.P.A.D. Hotline 1-800-88-7723

Media releases

SPAD MENGUMUMKAN DUA LALUAN BARU PERKHIDMATAN BAS BANDAR GO KL

KUALA LUMPUR: 28 April 2014 -

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D) telah mengumumkan dua laluan baru perkhidmatan bas bandar Go KL iaitu Laluan Merah dan Laluan Biru yang akan mula beroperasi pada 1 Mei 2014. Bas bandar Go KL adalah inisiatif kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan Central Business District (CBD) Kuala Lumpur. Ini merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan dalam usaha mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di kawasan CBD Kuala Lumpur. Untuk makluman, perkhidmatan bas bandar Go KL telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Ogos 2012 merangkumi dua laluan sahaja iaitu Laluan Hijau dan Laluan Ungu. Kesemua laluan-laluan bas bandar Go KL ini meliputi kawasan tumpuan orang ramai seperti pejabat-pejabat, terminal pengangkutan awam, pusat membeli-belah dan tempat-tempat pelancongan yang menarik.

Berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan, perkhidmatan Go KL dinaiki hampir 20,000 penumpang sehari sejak ianya diperkenalkan. Dengan pengenalan laluan baru, pihak S.P.A.D menjangkakan 40,000 penumpang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini. Penumpang bas bandar Go KL ini dapat menikmati kemudahan seperti sistem Wi-Fi percuma, kemudahan untuk pengguna OKU dan sistem kamera litar tertutup untuk keselamatan pengguna.

Untuk makluman perjalanan bagi Laluan Biru akan bermula dari Medan Mara ke Bukit Bintang dengan jarak perjalanan sebanyak 9.2 kilometer dengan 17 hentian. Manakala bagi perjalanan Laluan Merah pula, perkhidmatan akan bermula dari KL Sentral ke Jalan Tunku Abdul Rahman dengan jarak perjalanan sebanyak 10.5 kilometer dengan 19 hentian. Demi memastikan kelancaran perkhidmatan ini, S.P.A.D telah menetapkan frekuensi
perkhidmatan bagi kedua-dua laluan, iaitu setiap lima (5) minit pada waktu puncak dan sepuluh (10) minit bagi waktu bukan puncak.

S.P.A.D berharap masyarakat umum akan menggunakan kemudahan perkhidmatan bas bandar Go KL ini. Kerana ianya merupakan perkhidmatan bas dalam bandar yang mudah diakses, selamat, selesa dan dapat diguna ramai. Perkhidmatan ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak.

Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan En. R. Suresh Kumar, Ketua Bahagian Komunikasi (019-3295214), Puan Nurul Asyikin Nasruddin, Pengurus, Komunikasi (012-6227832) atau Puan Zureina Maidin (012-3305080)